7 AMALAN MEMPERCEPATKAN RUMAH TANGGA

 

JODOH sering menjadi bualan dan sindiran kepada mereka yang masih bujang terutama kepda mereka yang telah mencecah lewat 20an. Ada yang terus-menerus mencari. Ada juga yang berserah sepenuhnya. Jodoh itu rahsia Allah. Namun, perlu ada doa seiring usaha termasuklah 7 amalan rahsia ini yang boleh anda cuba amalkan untuk ditemukan jodoh.

#1 – Jaga Solat di Awal Waktu

Seringkali terdetik di hati kita, bilakah tibanya jodoh kita. Oh lambatnya. Tapi ada tak kita terfikir, saat azan kedengaran, adakah kita masih leka dengan urusan dunia? Kita inginkan jodoh kita segera bertandang, namun dalam masa yang sama, kita terlupa untuk bersegera menyahut panggilan-Nya di saat Dia memandang.

Rasullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Solat pada awal waktu, dari awalnya mendapat keredhaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah”Riwayat al-Tirmizi

#2 – Betulkan Niat Perkahwinan

Mungkin ada yang berkahwin adalah semata-mata kerana nafsu dan tuntutan keduniaan yang lain. Ada juga kerana harta. Namun, apakah sebenarnya tujuan kita berkahwin?

Niatlah bahawa kita berkahwin adalah untuk mendapat redha Allah semata-mata kerana-Nya. Untuk dapat kasih sayang Allah, cinta Allah. Sia-sia hidup kita jika tidak mendapat redha Allah. Itulah sebenarnya matlamat hidup kita.

#3 – Baca Surah Yaasin Setiap Pagi

Surah Yaasin merupakan hati atau jantung al-Quran. Biasanya surah Yaasin kerap dibaca pada malam Jumaat atau ketika melawat orang sakit atau yang meninggal dunia. Namun, surah ini jika diamalkan setiap hari, banyak manfaat yang bakal kita dapat.

Allah akan mudahkan segala urusan hati itu. Yang tiada jalan keluar pun Allah akan permudahkan. InsyaAllah.

#4 – Baca Surah al-Waqiah Setiap Malam

Amalan surah al-Waqiah akan memberikan kekayaan serta rezeki yang melimpah ruah termasuklah jodoh. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya:

“Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.”Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.

#5 – Jaga Ibu Bapa Dengan Baik

Redha Allah terletak pada redha ibu bapa kita. Sementara mereka masih ada, berkhidmatlah kepada mereka sehabis baik. Layan dan jaga mereka dengan penuh kasih sayang.

Dan yang paling penting ialah doa mereka. Pasti kita semua tahu, doa ibu bapa tiada hijab di sisi Allah. Saat kita sentiasa berbakti kepada mereka, dan mereka bahagia serta redha dengan kita, saat itulah doa kita mungkin dimakbulkan Allah. Bagitahu saja yang kita ingin berkahwin dan mintalah mereka untuk doakan kita yang terbaik. InsyaAllah akan dipermudahkan segalanya.

#6 – Jangan Terlalu Memilih

Kadang-kadang sikap terlalu memilih yang sempurna juga melambatkan jodoh kita untuk datang. Ada yang sudah dirisik oleh calon yang sesuai dan dia bersedia untuk terus menikah, namun ditolak disebabkan faktor-faktor tertentu.

Jodoh kita sebenarnya cerminan diri kita. Masing-masing ada kelemahan dan kekuatan tersendiri. Asalkan agamanya dan akhlaknya baik dan mereka datang dari keluarga yang baik-baik, itu sudah cukup untuk dijadikan pilihan.

#7 – Tahajjud Setiap Malam

Bangunlah di sepertiga malam. Jika tidak mampu, cukup sekadar dua rakaat. Beberapa minit sebelum Subuh masih sempat untuk kita amalkan. Itu juga sudah dikira sebagai tahajjud. Dan berdoalah. Doalah apa saja.

Allah sayang hamba-Nya yang sentiasa bertahajjud dan meminta doa kepada-Nya. Di saat insan lain terlena, kita bangun dan beibadah kepada-Nya. Dan cubalah untuk menangis setiap kali kita bertahajjud. Dengan izin Allah, doa kita sangat makbul saat kita berserah segalanya dan merayu kepada-Nya.

KESIMPULAN

Buat yang masih mencari jodoh, jangan mudah untuk berasa terasing di kala kawan seusia sudah berumah tangga, malah sudah mempunyai zuriat. Teruskan hidup seperti biasa. Ubah diri dan banyakkan usaha untuk menambah ilmu di dada.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *